MUSLIMIN ACUAN AL-QURAN

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah seorang muslimin yang beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga dengan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak tidak pernah takut berkata benar
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah muslimin yang menjaga tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung
Yang mempunyai ramai kawan
Dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah muslimin yang menghormati ibu bapanya
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga
Yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga
Yang akan mendidik anak-anak dan isteri mendalami agama Islam Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat

Muslimin Acuan Al-Quran
Sentiasa bersedia untuk agamanya
Yang hidup di bawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Muslimin Acuan Al-Quran
Tidak pernah membazirkan masa
Yang matanya kepenatan kerana kuat membaca
Yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Yang bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Muslimin Acuan Al-Quran
Sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Muslimin Acuan Al-Quran
Ialah muslimin yang tidak mudah terpesona
Dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah impiannya
Bersama wanita acuan Al-Quran…



MUSLIMAT ACUAN AL-QURAN

Muslimah acuan Al-Quran
Ialah seorang muslimah yang beriman
Yang hatinya penuh rasa cinta kepada Tuhannya Yang Satu
Yang hatinya merindui satu pertemuan abadi
yang hatinya meratap sedu di hamparan sejadah
Yang sanggup menitiskan mutiaranya yang berharga
Demi kasih suci Ilahi

Muslimah acuan Al-Quran
Ialah muslimah yang menjaga bicaranya
Yang menjaga adabnya
Yang tidak takut berkata benar
Yang tidak gentar dijengah mehnah
Walau nyawa jadi taruhan

Muslimah acuan Al-Quran
Dialah wanita yang dijanjikan Tuhannya
Sebuah syurga sebagai mahligai kasihnya
Dialah penghulu bidadari suaminya
Dialah wanita solehah buat agamanya

Muslimah acuan Al-Quran
Ialah muslimah yang tegas
Tegas dalam menegakkan daulah islamiyyah
Tegas dalam hidup yang ditarbiyyah
Dengan pelita iman bersumbukan taqwa

Muslimah acuan Al-Quran
Ialah muslimah yang bersifat qanaah
Baginya kekayaan duniawi hanya sementara
Baginya dunia hanya untuk meraih keuntungan akhirat
Baginya cukuplah alQuran sebagai harta abadi

Muslimah acuan Al-Quran
Ialah muslimah yang tunduknya demi agamanya
Yang hatinya disuburkan dengan semangat juang
Yang solatnya dilakukan dengan tawaduk
Yang suaranya lunak dengan Qalamulllah
Yang menjadikan zikrullah halwa ketenangan
Yang meletakkan Deen sebagai pakaian hidupnya

Benar dia bukan Khadijah, wanita kesayangan Nabi
Benar dia bukan Sumayyah, wanita cintakan syahid
Benar dia bukan Rabiatul Adawiyah, wanita yang merindui cinta Tuhannya

Namun, dialah wanita yang akan menjadi kesayangan suami solehnya
Dan, dialah wanita yang rela syahid dalam manhaj islam
Dan, dialah wanita yang mencari redha suaminya demi redha Tuhannya.






Share/Save/Bookmark